UPDF AI

Perspektif Golongan Muda terhadap Kesan Psikologi dan Fizikal Mangsa Buli Siber

Juliana Rosmidah Jaafar,Nalinah Poongavanam,4 Authors,Nurul Hazwani Kamarudin

2023 · DOI: 10.47405/mjssh.v8i5.2324
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities · 0 Citations

Abstract

Dalam dunia yang berkonsepkan teknologi siber, pengguna internet turut terdedah dengan risiko menjadi mangsa buli dalam alam siber. Buli siber merupakan satu perkara yang serius memandangkan kesan yang boleh dialami oleh mangsa dan ia boleh melangkaui aspek latar belakang seseorang seperti umur dan jantina. Memandangkan buli siber boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, maka adalah penting untuk meneroka kesan negatif yang dialami oleh mangsa buli. Maka kajian ini bertujuan untuk meneroka pandangan golongan muda terhadap kesan negatif yang dialami oleh mangsa buli. Kajian kualitatif ini menggunakan pendekatan perbincangan kumpulan berfokus untuk mendapatkan data. Seramai tujuh informan terlibat dalam kajian ini yang merupakan pelajar di institusi pengajian tinggi di Selangor. Hasil kajian telah dianalisis secara bertema. Dapatan daripada temu bual mendapati bahawa terdapat dua domain utama kesan negatif yang dialami oleh mangs buli; kesan secara fizikal dan psikologi. Bagi domain kesan negatif psikologi, ia merangkumi kesan emosi negatif seperti kemurungan, sedih mahu pun bimbang yang membawa kepada isu kesihatan mental. Selain itu, aspek personaliti dan estim-diri turut dikaitkan dengan emosi negatif yang dialami oleh mangsa buli siber. Manakala domain kesan negatif fizikal melibatkan aspek yang menjejaskan kesihatan diri seperti pengunduran daripada aktiviti sosial dan berat badan berkurangan. Dapatan daripada kajian ini boleh diimplikasikan dalam konteks kempen kesedaran buli siber di peringkat sekolah rendah dan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat berkaitan buli siber. Kajian akan datang dicadangkan untuk meneroka aspek kesan negatif yang dialami oleh mangsa buli siber dalam skop kajian yang lebih meluas dengan mengambil kira perbezaan aspek sosiodemografi. Secara keseluruhan kajian ini berjaya meneroka secara holistik kesan buli siber.