MEMAHAMI SALAH LAKU SEKSUAL DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DI MALAYSIA: PUNCA, PENDIDIKAN DAN STRATEGI PENCEGAHAN
MEMAHAMI SALAH LAKU SEKSUAL DALAM KALANGAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DI MALAYSIA: PUNCA, PENDIDIKAN DAN STRATEGI PENCEGAHAN
Lajarudi Lajahidi,M. D. A. Malek,Muhammad Idris Bullare @ Bahari3
Abstract
Isu salah laku seksual dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia merupakan cabaran sosial dan pendidikan yang semakin kompleks, dengan implikasi langsung terhadap kesihatan reproduktif, kesejahteraan psikologi serta pembangunan moral remaja. Berlandaskan kerangka Sustainable Development Goals (SDGs), khususnya Matlamat 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), Matlamat 4 (Pendidikan Berkualiti) serta Matlamat 5 (Kesaksamaan Gender), kajian ini menelusuri konsep, punca, pendidikan dan strategi pencegahan salah laku seksual dalam konteks tempatan. Dapatan literatur menunjukkan bahawa fenomena ini berpunca daripada ketidakseimbangan kuasa, norma patriarki, pengaruh rakan sebaya, penggunaan bahan terlarang serta kelemahan dalam pendidikan seks yang komprehensif (Lodz et al., 2019; Mutalip et al., 2019; Idris et al., 2022). Dalam konteks pendidikan, walaupun Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta kurikulum pendidikan seks telah diperkenalkan, pelaksanaannya masih kurang berkesan akibat kekangan budaya dan kekurangan penglibatan ibu bapa (Fariduddin, 2023; Wahab & Nor, 2018). Selain itu, isu gangguan seksual oleh rakan sebaya dan pendidik turut mencerminkan cabaran etika serta penyalahgunaan kuasa dalam institusi pendidikan (Mohamed, 2015; Wurtele et al., 2019). Keadaan ini menuntut pelaksanaan strategi pencegahan yang lebih holistik seperti pengukuhan pendidikan seks berasaskan sekolah, pelaksanaan program intervensi komuniti serta pendekatan inklusif terhadap pelajar berkeperluan khas (Solehati et al., 2023; Prasetyaningsih, 2025). Kerjasama antara pihak sekolah, keluarga dan komuniti perlu diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat serta beretika, manakala dasar perundangan perlu diperhebat untuk melindungi pelajar daripada eksploitasi dan diskriminasi seksual. Secara keseluruhan, kajian ini menegaskan keperluan pengintegrasian aspek pendidikan, perundangan dan sosial bagi membentuk pendekatan bersepadu dalam usaha mencegah salah laku seksual dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia.
