Kejadian buli siber dalam kalangan pelajar UTHM dan implikasi terhadap kemurungan
Kejadian buli siber dalam kalangan pelajar UTHM dan implikasi terhadap kemurungan
Abstract
Buli siber dan kemurungan merupakan gejala-gejala yang dihadapi oleh segelintir orang terutama dalam kalangan pelajar. Buli siber (cyberbully) adalah tindakan negatif yang dilakukan oleh seseorang atau kelompok tertentu secara memuatnaikkan gambar dan video ke akaun media sosial seseorang dengan bertujuan menyindir, menghina individu. Selain itu, kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang merasa sedih dalam tempoh yang panjang, keletihan, cepat marah dan juga hilang minat dalam aktiviti harian. Jumlah kes jenayah siber telah meningkat kepada lebih 20,000 kes pada tahun 2021 manakala kemurungan diklasifikasikan sebagai gangguan psikologi yang mempunyai frekuensi keberlakuan yang paling tinggi di dunia. Masalah tersebut menyumbangkan pelbagai impak negatif dengan mempengaruhi kesihatan seseorang dari segi mental dan fizikal. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengkaji kejadian buli siber dan implikasinya terhadap kemurungan dalam kalangan pelajar UTHM. Sampel kajian ini terdiri daripada 303 orang pelajar UTHM dan dianalisis secara deskriptif dan Chi-Square. Kajian ini mendapati bahawa kejadian buli siber dalam kalangan pelajar UTHM adalah pada tahap yang rendah dan tidak pernah iaitu dengan nilai min 1.65. Manakala tahap kemurungan pula hanya terjadi kadangkala iaitu dengan nilai min 2.59. Seterusnya, tindakan pelajar untuk mengatasi kemurungan mendapat jumlah min 3.82, hal ini membuktikan bahawa pelajar UTHM mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengatasi kemurungan yang dialami. Terdapat hubungan antara siber buli dengan kemurungan dengan nilai p = 0.0003 dan nilai OR= 0.497 ertinya walaupun terdapat hubungan antara buli siber dan kemurungan namun peluang kemurungan yang dialami oleh pelajar UTHM disebabkan buli siber adalah rendah dan sedikit berbanding punca lain. Oleh itu, kajian ini diharap dapat memberi sumbangan bermakna kepada perkembangan literatur dan ilmu pengetahuan terhadap penyelidik terutama kalangan pelajar.
