UPDF AI

Koleksi Surat Persendirian Zainal Abidin Bin Ahmad (Za’ba) Dalam Simpanan Arkib Negara Malaysia

2024 · DOI: 10.37134/munsyi.vol2.1.2.2024
0 Citations

Abstract

Makalah ini membincangkan tentang ketokohan Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) dan koleksi surat persendirian beliau di Arkib Negara Malaysia (ANM). Koleksi ini dikenalis sebagai Surat Persendirian Za’ba (SP18). Perbincangan dibahagikan kepada dua bahagian (i) Pemikiran dan kepercayaan Za’ba (ii) Koleksi Surat Persendirian Za’ba yang terdapat di Arkib Negara Malaysia (SP18). Tumpuan utama adalah untuk mempersembahkan idea dan pemikiran Za’ba yang diterjemahkan di dalam penulisannya serta sumber sejarah yang boleh diakses oleh masyarakat awam dalam koleksi SP18. Pendeta Za’ba, atau Zainal Abidin bin Ahmad, merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dikenali sebagai tokoh serba boleh dalam bidang bahasa, sastera, falsafah, politik, agama, dan pemikiran ekonomi. SP18 terdiri daripada 9,850 unit bahan dan ia termasuklah surat-menyurat, surat khabar dan majalah, terbitan, bahan pandang dengar, manuskrip, hasil penulisan, dan banyak lagi. Koleksi SP18 yang disimpan di Arkib Negara Malaysia merupakan aset berharga kerana ia merupakan sumber sejarah yang mendedahkan kepada pengkaji tentang pemikiran dan pandangan Za’ba berhubung isu yang diulasnya. Selama hampir 40 tahun, Za’ba aktif dalam penulisan dan penterjemahan, serta menjadi penulis rencana dan esei yang menggambarkan pemikiran dan pandangan beliau terhadap politik, ekonomi, agama, kemasyarakatan, bahasa, dan sastera. Pandangan Za’ba mendahului zamannya kerana membawa kesedaran bukan hanya kepada isu semasa tetapi juga isu-isu penting pada masa hadapan. Justeru, SP18 dijadikan sumber utama dalam kajian bagi para akademik dan banyak hasil kajian dan artikel dihasilkan berdasarkan koleksi surat persendirian berkenaan. Pemikiran Za’ba memberi dorongan kepada kemajuan bangsa dan negara Malaysia. Makalah ini membincangkan sumbangan Za’ba dan koleksi SP18 kepada masyarakat umum. Perbincangannya diharap akan menggalakkan kajian dalam pelbagai topik seperti karakteristik dan psikologi, kebudayaan Melayu, keibubapaan, kewartawanan, dan ketokohan dalam keagamaan. Ini kerana pemahaman tentang warisan intelektual Za’ba mendorong generasi masa kini untuk menghargai dan memahami peranan beliau dalam membentuk perkembangan sosial dan intelektual negara.